Tuesday, April 19, 2011

PENJELASAN MENGENAI WANG HARAM DAN BERCAMPUR

PENJELASAN KEKELIRUAN MENGENAI WANG HARAM DAN BERCAMPUR

Bermula dari isu sumbangan kerajaan Pulau Pinang kepada beberapa penerima, kelihatan timbul kekeliruan dan keserabutan dalam memahami letak duduk isu wang haram dan sumbangannya kepada kemaslahatan awam serta faqir dan miskin. Walau isu tersebut sudah padam dan tenggelam. Namun masih ada kekeliruan yang belum terjawab, akibatnya, ada yang berkata :-
“Jika harus diberikan wang haram itu kepada faqir miskin, maka bolehlah kita teruskan aktiviti haram itu kerana hasilnya masih boleh dimanfaatkan”

“Kerana hukumnya harus, maka mana-mana kerajaan pun yang naik selepas ini, mereka masih boleh membiarkan aktiviti haram”
“oo..bolehlah kita beri lagi banyak lesen kepada pusat judi, pelacuran dan riba, sebab untung mereka lebih besar dan kemudian kita boleh ambil manfaat dari harta mereka untuk membiayai faqir miskin dan pembangunan negara”.

Jika itulah kefahaman sebahagian pembaca selepas membaca hujjah-hujjah para ulama mazhab yang silam dan kontemporari, maka mereka sebenarnya sungguh terkeliru.
Memang benar, tulisan saya yang lalu menjelaskan fatwa ulama silam dan kontemporari berkenaan harusnya kumpulan faqir, miskin dan kemaslahatan awam termasuk warga emas yang memerlukan menerima sama ada wang dari kerajaan negeri atau pusat walaupun ia datang dari hasil keuntungan judi, riba dan lain-lain aktiviti haram.

Namun apa yag sangat perlu difahami begini :-
Konteks sebenar yang disebut oleh para ulama mesti difahami dengan tepat. Kesemua mereka memberikan fatwa tersebut ketika mengulas kemanakah perlu disalurkan hasil harta-harta haram yang berada didalam pemilikan individu. Konteksnya adalah, sekiranya seseorang itu TELAH memperolehi wang haram sama ada hasil judi, perniagaan haram, pelaburan haram dan kini ingin bertaubat, maka kemanakah patut disalurkan wang tersebut?, Adakah ia perlu dilupuskan atau dibakar atau dibuang debunya ke dalam sungai dan lautan.?

Jawapannya mudahnya, telah hampir sepakat seluruh ulama mengatakan melupuskannya seperti cara di atas, tanpa memberi manfaat kepada sesiapa pun adalah bercanggah dengan pelbagai dalil, Maqasid Shari’ah dan logik aqal. Ini adalah kerana dosa perolehan harta haram itu adalah bersifat hukmi dan bukan ‘aini (jisim).
Berbeza jika kiranya barang yang dimiliki itu adalah haram pada ‘ain dan zatnya seperti sebotol berisi arak, semangkuk sup daging babi, sepotong daging kambing tidak sembelih untuk makan tengahari dan yang sepertinya. Ketika itu, barulah hukumnya wajib melupuskannya dengan cara buang serta diharamkan untuk diberikan kepada sesiapa jua, termasuk menjualnya, menjadikan bahan perhiasan, walaupun kepada orang bukan Islam Demikian menurut hadis :-

Yang bermaksud : Rasulullah Sallahualahiwassalam telah melarang kami makan dan minum dari bekas yang diperbuat dari emas dan perak, dan memakai (kaum lelaki) pakaian dari sutera dan juga menggunakannya untuk alas duduk, baginda juga berkata : itu semuanya untuk orang kafir di dunia, dan kita hanya dibenarkan di Syurga kelak ( Riwayat Al-Bukhari).
Berasaskan dari hadis terbabit, lalu para ulama membuat kesimpulan sebuah kaedah iaitu :-

وما حرم استعماله حرم اتخاذه تحفة وزينة

Maksudnya: dan apa-apa yang diharamkan penggunaannya, diharamkan juga mengambilnya sebagai barangan yang disayangi (barang dianggap berharga = masterpiece) dan perhiasan. ( Al-Halal Wal Haram Fil Islam, Dr Yusuf Al-Qaradawi)

Dan juga petunjuk jelas dari hadis ini :-
Ertinya : dari Anas dari Abi talhah (r.a) berkata : aku berkat kepada Rasulullah : wahai Rasulullah aku telah terbeli arak untuk anak yatim yang didalam peliharaanku. Baginda memberikan arahan “ Musnahkan arak tersebut dan pecahkan bejana-bejananya” ( Riwayat At-Tirmizi : Hadis Hasan menurut Ibn Hajar & Albani)

Menurut huraian para ulama, sahabat yang membeli tersebut berniat untuk memeramkan arak terbabit sehingga ia bertukar sifat dan kemudian memanfaatkannya, tetapi itu juga dilarang oleh Nabi s.a.w. Ada juga ulama yang mentafsirkannya, sahabat tersebut membelinya sebelum turun wahyu pengharaman arak. Terdapat dalil lain pula yang menyebut anak-anak yatim tersebut mewarisi arak-arak dari ibu bapa mereka yang meinggal dunia, lalu apabila ditanya kepada nabi sama ada ia boleh diperam sehingga bertukar sifat, tetapi baginda tidak membenarkannya.[1]
Dari hadis di atas dan pelbagai dalil lain membuktikan pemilikan harta yang haram secara zat mesti dilupus, dihapus dan dibuang.

HARAM SECARA HUKMI
Manakala, harta haram secara hukmi ( menurut hukum kerana caranya bercanggah dengan Shari’ah seperti judi, rasuah, rompak, riba dan lain-lain) yang dimiliki individu adalah HARAM digunakan untuk dirinya sendiri dan keluarganya.
Bagaimanakah cara melupuskannya?
Cara melupuskannya adalah dengan menyalurkannya sama ada kepada Baitul Mal, pusat zakat atau terus kepada faqir dan miskin. Itulah konteksnya.
Bagaimana jika ia adalah sebuah negara atau negeri?
Jawabnya, cara pelupusan yang sama terpakai untuk sesebuah negara atau kerajaan. Setiap hasil cukai dan pendapatan dari hasil yang haram. Pemerintah yang bertanggungjawab mestilah menyalurkannya kepada faqir, miskin dan kemaslahatan awam, menurut nilai jumlah pendapatan itu. Itulah kaedah dan cara untuk mereka melupus dan menggunakannya.

Ini kerana harta haram tersebut, jika terus dibiar berada dalam pemilikan individu, ia bakal merosak keberkatan kehidupannya dan rezekinya.
Di peringkat Negara, membiarkan negara bergantung kepada hasil haram tanpa justifikasi yang betul dari sudut hukum Shari’ah, akan menjerumuskan pemimpin ke dalam kehinaan, dosa dan balasan azab pedih di akhirat.
Justifikasi yang dimaksudkan di atas adalah, sesebuah kerajaan pimpinan Islam DIBENARKAN meluluskan sesuatu yang diterima oleh agama lain dengan syarat ia khusus untuk penduduk setempat itu. Dalam masa yang sama kerajaan dibenar untuk mengutip cukai hasil pemberian lesen itu.

Contohnya, dalam sesetengah agama, arak adalah dibenarkan, justeru pemerintah Islam menghormati kebenaran itu, justeru para ulama menyatakan keharusan bagi kerajaan meluluskan pembukaan kedai arak yang khusus untuk penganut agama terbabit sahaja. Itulah namanya siyasah syariyyah.
Demikian statusnya dengan babi dan makanan tidak sembelih, disebabkan agam mereka membenarkan, kerajaan Islam mestilah membenarkan pembukaan kedai jual babi, penternakan babi, dan gerai-gerai yang menjual makanan tidak sembelih setelah dipohon oleh penganut agama yang membenarkan, namun secara terhad dan berhati-hati. Dalam masa yang sama, kerajaan boleh mengenakan cukai biasa dari lesen dan cukai dari perniagaan itu.
Hasil sebegitu, walau kelihatan kotor, tetapi dari sudut pandangan Islam, ia adalah harus diterima oleh baitul mal bagi sesebuah kerajaan pemerintahan Islam, dibenarkan pula untuk diagihkan kepada kemaslahatan umum dan faqir miskin tanpa sebarang syubhah. Walau bukan dari akaun dan tabungan negara yang berasingan.

YANG DISEPAKATI HARAM

Namun begitu, perlu diingat tiada sebarang agama yang mengharuskan pelacuran, pengurusan kewangan riba dan perjudiaan. Sebarang kebenaran bagi pembukaan premis sebegitu dan pengambilan cukai darinya adalah haram. Apabila ia masuk ke dalam pendapatan negara. Keberkatan dalam negara akan hilang, tatkala itu, ia memerlukan kepada proses pembersihan. Menurut perspektif Islam, jika tidak dibersihkan, bebanan hukuman haram itu, akan ditanggung oleh pemerintah terbabit.
Justeru, dalam keadaan itu, dosa sudah terlekat di bahu pemerintah jika dia Muslim, jika dia bukan Islam. Ia di luar perbincangan kita.
Namun walau ia berdosa di bahu pimpinan, setelah dan jika diperolehi wang itu, kemana boleh disalurkannya? Kemanakah saluran yang tepat dari sudut pandangan Islam?. Wang dari sumber haram boleh berganda haramnya jika tidak disalurkan dengan betul..!
Sekali lagi, saluran terbaik menurut dalil dan perbincangan ulama dalah kemaslahatan umum, faqir dan miskin. Golongan ini sentiasa diharuskan oleh Islam untuk menerima wang dari sebarang hasil atas kapasiti mereka selaku faqir, miskin dan sangat memerlukan. Justeru mereka adalah penerima harta sumbangan kerajaan dan individu secara yang sah dan syar’ie dari sudut pandangan Islam. Tiada syubhat untuk mereka menerimanya dan tidak lagi haram. Sebarang momokan yang mengatakannya syubhat dan haram adalah kegagalan dalam memahami dalil dan fatwa mazhab yang empat.


IA ADALAH GALAKAN KEPADA INDUSTRI HARAM?

Tidak sama sekali! Jika difahami sebegitu, pembaca terbabit silap memahami konteks.
Fatwa keharusan untuk disalurkan kepada tiga kumpulan tadi bukan merupakan satu galakan, sokongan atau sengaja membiarkan pimpinan meluluskan premis jualan arak, perjudian, pelacuran, riba dan sebagainya.
Pimpinan itu tetap berdosa meluluskan sesuatu aktiviti sedemikian tetapi fatwa keharusan itu adalah suatu pemberitahuan kaedah pelupusan sumber wang haram yang diperolehi oleh individu dan kerajaan. Bagi melepaskan bebanan haram yang sedang ditanggung oleh negara dan individu.

KESIMPULAN

Hasil dari itu, perlu dijelaskan sekali lagi iaitu :-

1. Memahami perbezaan di antara aktiviti haram (menurut Islam) tetapi diluluskan oleh agama lain dan yang tidak diharuskan oleh semua agama. Aktiviti pertama boleh sesebuah kerajaan mengambil hasil darinya, manakala yang kedua tidak dibenarkan, namun jika telah bertapak sekian lama dan terus menerus memberi hasil dalam bentuk cukai kepada kerajaan, cara penggunaannya yang tepat adalah kepada tiga kumpulan iaitu kemaslahatan awam, faqir dan miskin. Ia dibuat bagi tujuan pembersihan diri bagi individu dan Negara.dan perlu ada usaha untuk menamatkan perkembangan industri haram terbabit walau secara beransur-ansur.

2. Pelupusan harta dari sumber haram adalah dengan cara menyalurkan kepada tiga kumpulan tadi dibuat BAGI TUJUAN PEMBERSIHAN DIRI SENDIRI DI PERINGKAT INDIVIDU DAN PEMBERSIHAN HARTA NEGARA. Proses pembersihan ini amat perlu bagi mendatangkan berkat dan kemakmuran dalam diri, rumah tangga, masyarakat dan Negara.

3. Cadangan pelupusan itu BUKANLAH MEMBAWA MAKSUD MENGGALAKAN INDIVIDU DAN KERAJAAN TERBABIT DAN TERUS MENERUS MENDAPATKAN HASIL DARI AKTIVITI HARAM, sama ada dengan memberi lesen terus memakmurkannya. Jika selepas pelupusan, mereka tetap perolehan haram itu, ia akan merosakkan hati dan membawa dosa ke atas pelakunya dan pengutip keuntungan itu.
Tatkala itu, jika di peringkat individu, AHLI KELUARGA YANG LAIN WAJIB menegur. Manakala di peringkat kerajaan sebagaimana diajar oleh nabi, wajib pula ahli kepimpinan yang lain atau penyokong-penyokong mereka untuk menegur. Jika teguran tidak dilakukan, dosa terbabit dikongsi bersama oleh pimpinan lain dan penyokong, berdasarkan banyak dalil, antaranya hadis nabi.
Yang bermaksud : Barangsiapa yang menyeru atau mengajak ke arah sesuatu yang sesat (dosa), dia akan menanggung dosanya sebagaimana dosa-dosa orang yang mengikuti ajakan dan seruannya sehinggalah hari kiamat, tidak terkurang dosa itu walau sedikit ( Riwayat Muslim & Ibn Majah )
“Ustaz sebelum ini sibuk mengajak orang makan makanan dan harta halal, tapi kali ini adakah ustaz ingin kumpulan faqir miskin itu memakan wang syubhat dan haram? Pelik sungguh..” kemudian dia membawakan senarai panjang hadis-hadis nabi yang mengarahkan kita menjauhi harta haram dan syubhat.
Ini adalah kekeliruan juga, saya sentiasa bersama kempen menjauhkan umat Islam dari syubhat dan haram sama ada dari judi, riba, penipuan, rasuah dan yang sepertinya.
Namun individu yang berkata di atas bercakap dan memahami dalam konteks yang salah. Ini kerana kita sedang bicara soal cara pelupusan yang memang bertujuan untuk membersihkan pemilik harta haram sama ada individu atau kerajaan. Ia bertujuan untuk membawa berkat dan tanda taubat mereka.
Untuk melakukan taubat itu, wang haram dan syubhat yang dimiliki perlu disalurkan kepada dipulangkan kepada mangsa (jika ia dicuri darinya). Namun jika tidak diketahui pemilik asal secara specifik, penerima yang dibenarkan hanyalah maslahat awam, faqir dan miskin.
Ditegaskan sekali lagi, harta tadi tidak sama sekali menjadi haram dan syubhat ke atas penerima sama ada yang termasuk dalam golongan maslahat awam, faqir dan miskin. Justeru semua hadis yang cuba digunakan untuk penerima faqir miskin itu tidak relevan dan salah konteksnya sama sekali.

sekian

Friday, October 24, 2008

Konsep Blog Saya

Konsep Blog Saya

Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh,
Salam persaudaraan dan ukhuwwah buat seluruh pengunjung laman blog nizardakkwah.blogspot.com, ia adalah sebuah laman blog peribadi yang baru dibangunkan bagi menyiapkan tugasan didalam kursus teknologi maklumat dakwah(PM3032) di bawah seliaan Prof. Madya Dr. Zulkifli Abd Ghani. Selain itu pembinaan laman blog ini membolehkan saya turut serta menyemarakkan lagi sumbangan ilmu dan idea demi kelangsungan kebangkitan Islam di muka bumi ini umumnya dan di Malaysia khasnya.
Sebagai sebuah laman blog yang baru, ianya sudah tentu tidak lepas dari kelemahan pengisian, semoga usaha kerdil ini dapat menyumbang amal jariah disamping menjadi medium dakwah dalam bentuk moden seiringan dengan zaman. Insyaallah. …

Thursday, October 23, 2008

Isu Politik Islam


1948 dikenali sebagai tahun perang Arab Israel

Perang Arab-Israel 1948, dikenali juga sebagai Perang Kemerdekaan Israel, adalah merupakan perang yang pertama di dalam satu siri peperangan antara negara Israel dan negara jiran Arabnya dalam konflik Arab-Israel.
Bagi orang Yahudi Israel, peperangan ini menandakan kejayaan penubuhan negara Israel, tetapi bagi orang-orang Arab Palestin, ia menandakan permulaan bagi peristiwa-peristiwa yang dirujuk daripada bahasa Arab sebagai 'Al-Nakba' yang bermaksud 'malapetaka', perkataan yang digunakan untuk menggambarkan pengusiran keluar beratus-ratus ribu penduduk Palestin tempatan dari negara Israel yang baru dibentuk, dan kemudiannya pelarangan pihak Israel kembali ke kampung halaman mereka.
Pada tahun 1947, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah mencadangkan memisahkan tanah Palestin kepada negara Yahudi dan negara Arab, satu rancangan yang ditolak oleh masyarakat Arab.
Mandat British terhadap Palestin sepatutnya berakhir pada 15 Mei 1948, tetapi kepemimpinan Yahudi, diketuai oleh bakal Perdana Menteri David Ben-Gurion, telah mengisytiharkan kemerdekaan pada 14 Mei.
Kemerdekaan Israel dengan cepatnya diiktiraf oleh Kesatuan Soviet, Amerika Syarikat, dan banyak negara lain.
Pada akhir Mei 1948, 6000 tentera Syria, 4500 Iraq, 6000 Transjordan, 1000 Lubnan dan 5000 Mesir telah melancarkan serangan terhadap negara Israel yang baru lahir.
Namun, mereka ditewaskan oleh Israel yang berjaya menawan hampir setengah wilayah yang diberikan oleh PBB kepada penduduk Arab serta Baitulmaqdis Barat.
Dalam perjanjian gencatan senjata, Semenanjung Gaza diserahkan kepada Mesir, manakala Tebing Barat diserahkan kepada Jordan, dan tanah mandat British terhadap Palestin dahulu yang lain menjadi Israel.

Isu Politik Islam


Tanggal hitam 15 Mei 1948


Pada tarikh ini, genaplah usia 60 tahun Palestin ditakluk, betapa malunya kita sebagai umat Islam hari dengan kelengkapan serba serbi peralatan persenjataan masih tidak terdaya membebaskan bumi Palestin, malah Masjid al-Aqsa juga dikuasai rejim Yahudi.
Kalau dilihat dari sudut logik akal manusia, negara Israel dilingkungi beberapa negara Arab yang kaya dengan senjata minyak seperti Arab Saudi, Kuwait, Iraq, Syria, Lubnan, Bahrain, Oman, Yaman dan sebagainya sepatutnya pada 1948, orang-orang Arab berjaya menghalang penubuhan negara haram itu, namun ia tidak berlaku.
Sebabnya, para pemimpin Arab hanya banyak menganjurkan persidangan menjaga kepentingan mereka daripada memikirkan keselamatan rakyat bangsa Palestin yang ditindas, dianiayai, dinafikan hak mereka sepanjang 60 tahun, iaitu satu jangka masa yang begitu lama mengatasi usia Malaysia merdeka (51 tahun).
Imam Syahid Hasan al-Banna pengasas Gerakan Ikhwanul Muslimin pernah mengemukakan pandangannya kepada Perdana Menteri Mesir pada masa itu, Noqrashi Basha agar membantu rakyat Palestin dengan menghantar pasukan tentera ke Palestin bagi menghadapi segala kemungkinan agar kuasa asing tidak bertapak di kawasan yang diduduki bangsa Arab, apatah lagi beragama Islam.
Pandangannya itu bukan mahu membangkitkan isu kebangsaan, malah kebimbangannya terhadap pengaruh bukan Islam akan masuk ke dalam negara-negara yang dihuni oleh orang Arab.
Noqrashi menolak pandangannya itu malah bertindak mengharamkan segala aktiviti gerakan Ikhwanul Muslimin. Imam Hasan tidak berputus asa dan mengerahkan unit pasukan jihad gerakan itu supaya pergi ke Palestin bertujuan untuk membantu rakyat negara itu, walau bagaimanapun tentera-tentera yang dihantar itu ada yang mati syahid dan ada yang sempat pulang semula ke Mesir dengan pelbagai kesusahan yang menanti mereka.
Kejatuhan Palestin di tangan Israel disifatkan oleh Imam Hasan sebagai satu kesilapan dan pengkhianatan besar ke atas rakyat Palestin yang beragama Islam.
Selang tidak berapa lama selepas kejatuhan Palestin, pada 12 Februari 1949, Imam Hasan ditembak mati secara misteri tanpa seorang pun yang tahu kejadian itu hingga ahli keluarganya juga tidak dapat mengesan di manakah jenazahnya di kuburkan hingga hari ini.

Isu Penghayatan Islam




Bulan Ramadan adalah masa paling sesuai untuk mengorak langkah menjadi insan cemerlang dari sudut amalan, cara hidup, berpakaian, berinteraksi sesama manusia, kerana di dalamnya disediakan sukatan (silibus) yang terbaik daripada Allah SWT.
Justeru, walaupun Ramadan telah berlalu, pasti terdapat insan bergelar graduan cemerlang ketika meraih hadiah kecemerlangan pada malam konvokesyen (Aidilfitri) dengan persiapan yang mantap dari sudut kesediaan sambutan yang diredai Allah SWT.
Iaitu sambutan menghidupkan malamnya dengan bertakbir, bertahmid, bertasbih, bertahlil, membaca al-Quran, berqiayamullail, ia bertujuan untuk menghidupkan hati manusia pada hari di mana Allah matikan hati mereka iaitu pada hari kiamat, ia bertepatan dengan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Sesiapa yang menghidupkan dua malam hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri), maka hatinya tidak akan mati pada hari Allah matikan hati-hati manusia (akhirat)."
Justeru, Allah SWT akan mempersoal hati manusia ketika dia datang bertemu dengan-Nya pada hari kiamat mengenai apa dilakukan semasa di dunia. Hal ini ditegaskan Allah menerusi ayat 36 surah al-Israa maksudnya: "Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya."
Ini kerana hati manusia ibarat seorang raja yang boleh mengeluarkan arahan terhadap bala tenteranya. Dia boleh bertindak untuk menerus atau memberhentikan sesuatu peperangan jika dia melihatnya tidak memberi apa-apa keuntungan.
Baginda s.a.w. menganggapnya sebagai perkara yang utama dalam diri manusia, jika ia baik, maka baiklah seluruhnya anggota manusia, tetapi jika sebaliknya ia jahat, maka jahatlah seluruh anggotanya, itulah hati manusia. (Maksud sebahagian hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)
Paling penting, setiap Muslim perlu mencari jalan bagaimana mereka dapat meluruskan hati mereka daripada terkena virus penyakit berbahaya yang boleh mencacatkan hubungan mereka dengan Allah pada hari kiamat.

Isu Undang-Undang Islam


Majlis Fatwa Kebangsaan: Lafaz sumpah hanya selepas proses perundangan


Majlis Fatwa Kebangsaan berpendapat proses perundangan perlu berjalan terlebih dahulu sebelum lafaz sumpah laknat (muhabalah) dilakukan oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan bahawa beliau diliwat oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata dalam melakukan sumpah itu, ia perlu melibatkan kedua-dua pihak iaitu individu yang dituduh serta mereka yang menuduh dan ia tidak semestinya dilakukan hanya di masjid.
Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas dengan Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan di sini hari ini, beliau berkata pendapat beberapa tokoh agama terhadap sumpah yang dilakukan baru-baru ini oleh Mohd Saiful berhubung dakwaannya terhadap Anwar itu, telah mengelirukan masyarakat dan ia harus menjadi pengajaran kepada pihak-pihak berkaitan dalam menangani isu seumpama itu pada masa akan datang.
"Kita (Majlis Fatwa Kebangsaan) merasakan bahawa proses perundangan harus berjalan dan muhabalah boleh mengambil tempat apabila proses perundangan itu sudah diselesaikan.
"Apa yang berlaku sekarang harus dijadikan pengajaran agar kedua-dua pihak dapat dibawa ke pengadilan dan apabila satu pihak merasakan bahawa dirinya tidak terbela atau teraniaya, maka muhabalah boleh dilakukan dengan melibatkan kedua-dua pihak berkenaan," katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata rumusan yang dibuat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan itu bukan berpihak kepada mana-mana individu sebaliknya ia adalah untuk menegakkan kebenaran mengikut syariat Islam.
"Undang-undang Islam adil dan jangan harus khuatir memikirkan perbicaraan melalui perundangan dan muhabalah boleh dilakukan di mahkamah ataupun di luar mahkamah bergantung kepada keputusan yang akan dibuat.
"Kedua-dua pihak berkenaan mesti berada dalam situasi yang mengizinkan muhabalah atau sumpah itu dilakukan. Tidak semestinya kedua-dua pihak itu berada pada satu tempat tetapi kedua-duanya mesti terlibat (melafaz sumpah)," katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mempolitikkan atau memanipulasi isu berkenaan kerana sebarang persoalan mengenainya perlu dirujuk kepada ulama atau kitab-kitab agama.
Ditanya sama ada lafaz sumpah yang dilakukan oleh Mohd Saiful mengikut syariat, Ahmad Zahid menjelaskan apa yang dilakukan bekas pembantu peribadi Anwar itu adalah bagi membersihkan nama dan imejnya.
Beliau berkata tindakan Mohd Saiful bersumpah dengan memegang kitab suci al-Quran dan dilakukan dalam masjid adalah perkara-perkara teknikal yang tidak dipertikaikan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.
"(Bagaimanapun) kita berpendapat apa yang telah berlaku dijadikan pengajaran untuk kes-kes akan datang," katanya.
Ahmad Zahid menasihatkan umat Islam supaya tidak melakukan lafaz sumpah sewenang-wenang termasuk terhadap perkara remeh-temeh dan menjadikan perbuatan itu sebagai satu trend.
Beliau berkata sebarang lafaz sumpah itu perlu dilakukan selepas proses perundangan berjalan kerana jika seseorang itu kerap berbuat demikian, sumpah tersebut tiada nilai dan orang ramai tidak akan mempercayainya.

ISU AKIDAH ISLAM


ISU AKIDAH ISLAM
ISU AQIDAH : ISU KITA BERSAMA



Umat Islam perlu bersatu untuk selamatkan Aqidah….

Sekiranya sekitar zaman penjajah berlakunya kes murtadnya Natrah dan perampasan Natrah oleh kaum keluarga asalnya dari Belanda daripada tangan suaminya iaitu Mansor Adabi. Ribuan manusia berarak ke mahkamah Singapura dan terlalu ramai yang cedera dan ada yang maut di jalan Allah. Terdapat 100 anggota keselamatan yang membuka baju seragam mereka kerana ingin turut mencabar undang-undang British yang menetapkan keislaman Natrah pada umur 14 tahun adalah di bawah had umur Common Law.

Kali ini kes Azlina Jailani atau nama Kristiannya Lina Joy mula menempelak minda umat Melayu yang leka. Kes ini terlalu berat sehingga mampu menimbulkan krisis perkauman sekiranya tidak dijaga dan dibendung daripada membarah.

Pembendungan bukan dalam erti kata menyekat umat Islam bersuara, tetapi bertindak dengan menghalang suara-suara liar-durjana daripada Pertubuhan 'Dana Becket untuk Kebebasan Agama' yang berpangkalan di Amerika dan pelbagai NGO luar negara yang telah memproksikan beberapa NGO dan menteri-menteri Malaysia non-muslim untuk bertindak biadab sehingga mampu membawa memorandum kepada PM kita berkenaan artikel 121(1A).

Amat menyedihkan apabila berita-berita serta kelanjutan perbicaraan kes-kes sebegini tidak berada dalam media mainstream secara adil dan telus. Krisis kekontangan nilai tanggungjawab terhadap aqidah dan keutuhan sistem Islam adalah berpunca daripada krisis kekurangan maklumat. Kekurangan maklumat adalah disebabkan ada yang menyekat.

Kronologi ringkas Kes Lina Joy.

Azlina Jailani(42), berketurunan Jawa telah menafikan didikan agama ibu bapanya sejak kecil. Beliau juga mengatakan bahawa beliau tidak pernah mempraktikkan nilai Islam sejak kecil. Beliau bertukar agama kepada Kristian pada tahun 1990 dan telah mempunyai sijil Baptis pada 11 Mei 1998.

Pada 2000, beliau telah berkahwin dengan India Kristian dan memohon pada Jabatan Pendaftaran Negara untuk menukar nama sejak tahun 1999 lagi.

Permohonan menukar nama diterima, walaubagaimanapun dikekalkan pada kad pengenalan beliau iaitu perkataan Agama Islam. Beliau amat tidak berpuas hati dan meminta Mahkamah Syariah mengesahkan kemurtadannya demi mengesahkan penukaran perkataan agama pada kadnya.

Mahkamah Syariah amat bertegas serta membuat keputusan bahawa tiada Melayu yang dibenarkan untuk menukar agama mereka (berdasarkan undang-undang) berdasarkan kuasa artikel 121(1A) yang sedia ada.

Permohonan di buat di Mahkamah Tinggi pada tahun 2000 seterusnya di Mahkamah Rayuan. Keduanya menyatakan bidang kuasa adalah pada Mahkamah Syariah berasaskan Artikel 121(1A).

Akhirnya kes ini didengarkan di Mahkamah Persekutuan. Kes didengar oleh Ketua Hakim Tun Fairuz, Dato' Alaudin dan Dato' Richard dan mereka cenderung dengan jawapan yang diputuskan oleh ketiga-tiga mahkamah sebelum itu.

Cabaran….mencabar dan tercabar…

Pertama kali dalam sejarah negara ini, peguam-peguam pemerhati telah dibenarkan untuk berhujah. Dengan diketuai oleh Peguam Malik Imtiyaz Sarwar yang sememangnya menyokong Lina Joy, mereka telah bersama-sama untuk memutar belit perhujahan kepada Artikel 11.

Mereka membawa mahkamah kepada takrifan Artikel 11 agar lebih liberal dan menguasai serta mendominasi Artikel 121(1A) serta Artikel 160 yang mentakrifan masyarakat melayu sebagai beragama Islam, berbudaya melayu dan berasal dari keluarga melayu. Artikel 11 jika dikupas secara bebas akan lebih menjuruskan kepada hak asasi.

Ya, hak asasi adalah tuhan baru bagi pengikut aliran liberalisme di barat. Liberalisme yang mula memasuki lubuk praktikal para profesional Islam, NGO serta pertubuhan dengan servis sosial mula menampakkan usaha kearah mengintegrasikan antara agama secara homogeneous total sehingga melacur prinsip dan kekukuhan nilai aqidah Islam yang merupakan sesuatu yang pernah dipertahankan oleh Imam Ahmad Hanbal sehingga patah tulang belakangnya di era Abbasiyyah dahulu.

Secara semena nilai aqidah ini mula dilacurkan oleh peguam-peguam Islam sendiri. Malik Imtiyaz Sarwar mewakili Majlis Peguam (bar Council) walaupun sebenarnya bekas-bekas presidennya sendiri tidak merestuinya (seperti Peguam Zainur Zakaria). Bahkan ahli-ahli Majlis Peguam juga tidak bereaksi positif dengan tindakannya.

Mereka cuba mencabar MAIS, Kerajaan Malaysia serta Jabatan Pendaftaran Malaysia dalam usaha untuk mentarifkan Artikel 11 agar hak kebebasan individu selepas berusia 18 tahun menjadi suatu indikator mutlak kepada kesemua kes yang akan datang. Hal ini pastinya akan menggagalkan peranan Artikel 160 serta 121(1A) sekiranya dibawa ke mahkamah sivil.

Bahaya Liberalisme….

Isu kebebasan mutlak ini akan menafikan peranan ibu bapa dalam mengawal corak moral dan nilai etika anak-anak mereka. Nilai kerangka murni Melayu yang sejak 500 tahun dahulu dipertahankan oleh nenek moyang kita sehingga 'principle exclusiveness' Melayu-Islam ini menjadi begitu signifikan dan erat sekali.

Kini usaha liberal untuk memburai segala ini sekelip mata. Usaha pensekularan akan berlaku dengan lebih pesat lagi kerana takrifan bebas Artikel 11 akan menghasilkan Islam sebagai agama yang hanya pada nama tetapi tidak berfungsi untuk mengawal akhlak penganutnya, memandu kehidupan penganutnya serta tiada amalan ritual yang bermanfaat.

Usaha penghapusan pondok-pondok yang bermula dengan penghapusan bantuan kepada mereka, labelan pembangkang kepada mahasiswa pengajian Islam (UM, UIA dan lain-lain) serta memandang pendokong Islam sebagai suatu polar negatif. Usaha pelacuran nilai Islam yang telah berlangsung antara sedar atau tidak, bermula di kampung sehinggalah ke bandar, bermula di sekolah sehingga ke medan kampus, Islam dinobatkan sebagai sesuatu yang membencikan, orthodoks dan ada usaha pemisahan norma berlaku. Malangnya Melayu.

Kesan Kes ini kepada Islam.

Artikel 3 yang memperuntukkan kedudukan istimewa Islam sebagai agama persekutuan akan semakin terhakis kerana Islam akan dianut dan diamalkan seperti agama lain.

Mengikut perlembagaan Islam adalah terletak di tempat yang tertinggi sebagai contoh di dalam peruntukan Perkara 12(2) kuasa mengurus dan menghulur bantuan oleh kerajaan (persekutuan dan Negeri) kepada institusi Islam seperti masjid, Sekolah Agama Rakyat, Madrasah dan sebagainya. Status ini akan terhapus sekiranya kes Lina Joy berjaya untuk menjadi rujukan kepada kes-kes yang akan datang. Semestinya NGO di sebalik Lina Joy tidak akan berdiam diri.

Kemenangan di dalam mahkamah bukan sekadar untuk menukar agama dan perkataan Islam pada kad pengenalan, sebaliknya merealisasikan akta dan Artikel 11 yang diperjuangkan serta menafikan hak Perkara 12(2), Artikel 160 serta 121(1A) yang terakhir sekali. Menafikan hak artikel ini dalam mahkamah, perlu juga direalisasikan di peringkat pelaksanaan eksekutif. Inilah matlamat mereka.

Bidang kuasa Mahkamah Syariah sebagaimana peruntukan Perkara 121(1A) juga akan terhakis kerana membenarkan orang Islam menggugurkan agama Islam dalam kad pengenalan melalui Mahkamah Sivil akan menyebabkan lebih ramai yang akan membelakangkan Mahkamah Syariah. Fungsi ini akan mati begitu sahaja.

Perkara 11(4) menyatakan, kerajaan Negeri boleh berusaha menyekat dakyah agama lain kepada orang Islam. Jika kes ini menang, artikel ini sudah tidak bermakna dan kesemua agama akan berhak menyebarkan agama mereka tanpa sekatan kerana Artikel 11 mendominasi.

Artikel 160 menyatakan Melayu adalah sesiapa yang berasal daripada keluarga Melayu, beragama Islam, serta mengamalkan cara hidup Islam. Lina Joy cuba menafikan pengamalan Islamnya sejak kecil semata-mata untuk menggagalkan takrifan Artikel 160. Cukup teliti perancangan mereka.