Friday, October 24, 2008

Konsep Blog Saya

Konsep Blog Saya

Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh,
Salam persaudaraan dan ukhuwwah buat seluruh pengunjung laman blog nizardakkwah.blogspot.com, ia adalah sebuah laman blog peribadi yang baru dibangunkan bagi menyiapkan tugasan didalam kursus teknologi maklumat dakwah(PM3032) di bawah seliaan Prof. Madya Dr. Zulkifli Abd Ghani. Selain itu pembinaan laman blog ini membolehkan saya turut serta menyemarakkan lagi sumbangan ilmu dan idea demi kelangsungan kebangkitan Islam di muka bumi ini umumnya dan di Malaysia khasnya.
Sebagai sebuah laman blog yang baru, ianya sudah tentu tidak lepas dari kelemahan pengisian, semoga usaha kerdil ini dapat menyumbang amal jariah disamping menjadi medium dakwah dalam bentuk moden seiringan dengan zaman. Insyaallah. …

Thursday, October 23, 2008

Isu Politik Islam


1948 dikenali sebagai tahun perang Arab Israel

Perang Arab-Israel 1948, dikenali juga sebagai Perang Kemerdekaan Israel, adalah merupakan perang yang pertama di dalam satu siri peperangan antara negara Israel dan negara jiran Arabnya dalam konflik Arab-Israel.
Bagi orang Yahudi Israel, peperangan ini menandakan kejayaan penubuhan negara Israel, tetapi bagi orang-orang Arab Palestin, ia menandakan permulaan bagi peristiwa-peristiwa yang dirujuk daripada bahasa Arab sebagai 'Al-Nakba' yang bermaksud 'malapetaka', perkataan yang digunakan untuk menggambarkan pengusiran keluar beratus-ratus ribu penduduk Palestin tempatan dari negara Israel yang baru dibentuk, dan kemudiannya pelarangan pihak Israel kembali ke kampung halaman mereka.
Pada tahun 1947, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah mencadangkan memisahkan tanah Palestin kepada negara Yahudi dan negara Arab, satu rancangan yang ditolak oleh masyarakat Arab.
Mandat British terhadap Palestin sepatutnya berakhir pada 15 Mei 1948, tetapi kepemimpinan Yahudi, diketuai oleh bakal Perdana Menteri David Ben-Gurion, telah mengisytiharkan kemerdekaan pada 14 Mei.
Kemerdekaan Israel dengan cepatnya diiktiraf oleh Kesatuan Soviet, Amerika Syarikat, dan banyak negara lain.
Pada akhir Mei 1948, 6000 tentera Syria, 4500 Iraq, 6000 Transjordan, 1000 Lubnan dan 5000 Mesir telah melancarkan serangan terhadap negara Israel yang baru lahir.
Namun, mereka ditewaskan oleh Israel yang berjaya menawan hampir setengah wilayah yang diberikan oleh PBB kepada penduduk Arab serta Baitulmaqdis Barat.
Dalam perjanjian gencatan senjata, Semenanjung Gaza diserahkan kepada Mesir, manakala Tebing Barat diserahkan kepada Jordan, dan tanah mandat British terhadap Palestin dahulu yang lain menjadi Israel.

Isu Politik Islam


Tanggal hitam 15 Mei 1948


Pada tarikh ini, genaplah usia 60 tahun Palestin ditakluk, betapa malunya kita sebagai umat Islam hari dengan kelengkapan serba serbi peralatan persenjataan masih tidak terdaya membebaskan bumi Palestin, malah Masjid al-Aqsa juga dikuasai rejim Yahudi.
Kalau dilihat dari sudut logik akal manusia, negara Israel dilingkungi beberapa negara Arab yang kaya dengan senjata minyak seperti Arab Saudi, Kuwait, Iraq, Syria, Lubnan, Bahrain, Oman, Yaman dan sebagainya sepatutnya pada 1948, orang-orang Arab berjaya menghalang penubuhan negara haram itu, namun ia tidak berlaku.
Sebabnya, para pemimpin Arab hanya banyak menganjurkan persidangan menjaga kepentingan mereka daripada memikirkan keselamatan rakyat bangsa Palestin yang ditindas, dianiayai, dinafikan hak mereka sepanjang 60 tahun, iaitu satu jangka masa yang begitu lama mengatasi usia Malaysia merdeka (51 tahun).
Imam Syahid Hasan al-Banna pengasas Gerakan Ikhwanul Muslimin pernah mengemukakan pandangannya kepada Perdana Menteri Mesir pada masa itu, Noqrashi Basha agar membantu rakyat Palestin dengan menghantar pasukan tentera ke Palestin bagi menghadapi segala kemungkinan agar kuasa asing tidak bertapak di kawasan yang diduduki bangsa Arab, apatah lagi beragama Islam.
Pandangannya itu bukan mahu membangkitkan isu kebangsaan, malah kebimbangannya terhadap pengaruh bukan Islam akan masuk ke dalam negara-negara yang dihuni oleh orang Arab.
Noqrashi menolak pandangannya itu malah bertindak mengharamkan segala aktiviti gerakan Ikhwanul Muslimin. Imam Hasan tidak berputus asa dan mengerahkan unit pasukan jihad gerakan itu supaya pergi ke Palestin bertujuan untuk membantu rakyat negara itu, walau bagaimanapun tentera-tentera yang dihantar itu ada yang mati syahid dan ada yang sempat pulang semula ke Mesir dengan pelbagai kesusahan yang menanti mereka.
Kejatuhan Palestin di tangan Israel disifatkan oleh Imam Hasan sebagai satu kesilapan dan pengkhianatan besar ke atas rakyat Palestin yang beragama Islam.
Selang tidak berapa lama selepas kejatuhan Palestin, pada 12 Februari 1949, Imam Hasan ditembak mati secara misteri tanpa seorang pun yang tahu kejadian itu hingga ahli keluarganya juga tidak dapat mengesan di manakah jenazahnya di kuburkan hingga hari ini.

Isu Penghayatan Islam




Bulan Ramadan adalah masa paling sesuai untuk mengorak langkah menjadi insan cemerlang dari sudut amalan, cara hidup, berpakaian, berinteraksi sesama manusia, kerana di dalamnya disediakan sukatan (silibus) yang terbaik daripada Allah SWT.
Justeru, walaupun Ramadan telah berlalu, pasti terdapat insan bergelar graduan cemerlang ketika meraih hadiah kecemerlangan pada malam konvokesyen (Aidilfitri) dengan persiapan yang mantap dari sudut kesediaan sambutan yang diredai Allah SWT.
Iaitu sambutan menghidupkan malamnya dengan bertakbir, bertahmid, bertasbih, bertahlil, membaca al-Quran, berqiayamullail, ia bertujuan untuk menghidupkan hati manusia pada hari di mana Allah matikan hati mereka iaitu pada hari kiamat, ia bertepatan dengan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Sesiapa yang menghidupkan dua malam hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri), maka hatinya tidak akan mati pada hari Allah matikan hati-hati manusia (akhirat)."
Justeru, Allah SWT akan mempersoal hati manusia ketika dia datang bertemu dengan-Nya pada hari kiamat mengenai apa dilakukan semasa di dunia. Hal ini ditegaskan Allah menerusi ayat 36 surah al-Israa maksudnya: "Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya."
Ini kerana hati manusia ibarat seorang raja yang boleh mengeluarkan arahan terhadap bala tenteranya. Dia boleh bertindak untuk menerus atau memberhentikan sesuatu peperangan jika dia melihatnya tidak memberi apa-apa keuntungan.
Baginda s.a.w. menganggapnya sebagai perkara yang utama dalam diri manusia, jika ia baik, maka baiklah seluruhnya anggota manusia, tetapi jika sebaliknya ia jahat, maka jahatlah seluruh anggotanya, itulah hati manusia. (Maksud sebahagian hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)
Paling penting, setiap Muslim perlu mencari jalan bagaimana mereka dapat meluruskan hati mereka daripada terkena virus penyakit berbahaya yang boleh mencacatkan hubungan mereka dengan Allah pada hari kiamat.

Isu Undang-Undang Islam


Majlis Fatwa Kebangsaan: Lafaz sumpah hanya selepas proses perundangan


Majlis Fatwa Kebangsaan berpendapat proses perundangan perlu berjalan terlebih dahulu sebelum lafaz sumpah laknat (muhabalah) dilakukan oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan bahawa beliau diliwat oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata dalam melakukan sumpah itu, ia perlu melibatkan kedua-dua pihak iaitu individu yang dituduh serta mereka yang menuduh dan ia tidak semestinya dilakukan hanya di masjid.
Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas dengan Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan di sini hari ini, beliau berkata pendapat beberapa tokoh agama terhadap sumpah yang dilakukan baru-baru ini oleh Mohd Saiful berhubung dakwaannya terhadap Anwar itu, telah mengelirukan masyarakat dan ia harus menjadi pengajaran kepada pihak-pihak berkaitan dalam menangani isu seumpama itu pada masa akan datang.
"Kita (Majlis Fatwa Kebangsaan) merasakan bahawa proses perundangan harus berjalan dan muhabalah boleh mengambil tempat apabila proses perundangan itu sudah diselesaikan.
"Apa yang berlaku sekarang harus dijadikan pengajaran agar kedua-dua pihak dapat dibawa ke pengadilan dan apabila satu pihak merasakan bahawa dirinya tidak terbela atau teraniaya, maka muhabalah boleh dilakukan dengan melibatkan kedua-dua pihak berkenaan," katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata rumusan yang dibuat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan itu bukan berpihak kepada mana-mana individu sebaliknya ia adalah untuk menegakkan kebenaran mengikut syariat Islam.
"Undang-undang Islam adil dan jangan harus khuatir memikirkan perbicaraan melalui perundangan dan muhabalah boleh dilakukan di mahkamah ataupun di luar mahkamah bergantung kepada keputusan yang akan dibuat.
"Kedua-dua pihak berkenaan mesti berada dalam situasi yang mengizinkan muhabalah atau sumpah itu dilakukan. Tidak semestinya kedua-dua pihak itu berada pada satu tempat tetapi kedua-duanya mesti terlibat (melafaz sumpah)," katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mempolitikkan atau memanipulasi isu berkenaan kerana sebarang persoalan mengenainya perlu dirujuk kepada ulama atau kitab-kitab agama.
Ditanya sama ada lafaz sumpah yang dilakukan oleh Mohd Saiful mengikut syariat, Ahmad Zahid menjelaskan apa yang dilakukan bekas pembantu peribadi Anwar itu adalah bagi membersihkan nama dan imejnya.
Beliau berkata tindakan Mohd Saiful bersumpah dengan memegang kitab suci al-Quran dan dilakukan dalam masjid adalah perkara-perkara teknikal yang tidak dipertikaikan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.
"(Bagaimanapun) kita berpendapat apa yang telah berlaku dijadikan pengajaran untuk kes-kes akan datang," katanya.
Ahmad Zahid menasihatkan umat Islam supaya tidak melakukan lafaz sumpah sewenang-wenang termasuk terhadap perkara remeh-temeh dan menjadikan perbuatan itu sebagai satu trend.
Beliau berkata sebarang lafaz sumpah itu perlu dilakukan selepas proses perundangan berjalan kerana jika seseorang itu kerap berbuat demikian, sumpah tersebut tiada nilai dan orang ramai tidak akan mempercayainya.

ISU AKIDAH ISLAM


ISU AKIDAH ISLAM
ISU AQIDAH : ISU KITA BERSAMA



Umat Islam perlu bersatu untuk selamatkan Aqidah….

Sekiranya sekitar zaman penjajah berlakunya kes murtadnya Natrah dan perampasan Natrah oleh kaum keluarga asalnya dari Belanda daripada tangan suaminya iaitu Mansor Adabi. Ribuan manusia berarak ke mahkamah Singapura dan terlalu ramai yang cedera dan ada yang maut di jalan Allah. Terdapat 100 anggota keselamatan yang membuka baju seragam mereka kerana ingin turut mencabar undang-undang British yang menetapkan keislaman Natrah pada umur 14 tahun adalah di bawah had umur Common Law.

Kali ini kes Azlina Jailani atau nama Kristiannya Lina Joy mula menempelak minda umat Melayu yang leka. Kes ini terlalu berat sehingga mampu menimbulkan krisis perkauman sekiranya tidak dijaga dan dibendung daripada membarah.

Pembendungan bukan dalam erti kata menyekat umat Islam bersuara, tetapi bertindak dengan menghalang suara-suara liar-durjana daripada Pertubuhan 'Dana Becket untuk Kebebasan Agama' yang berpangkalan di Amerika dan pelbagai NGO luar negara yang telah memproksikan beberapa NGO dan menteri-menteri Malaysia non-muslim untuk bertindak biadab sehingga mampu membawa memorandum kepada PM kita berkenaan artikel 121(1A).

Amat menyedihkan apabila berita-berita serta kelanjutan perbicaraan kes-kes sebegini tidak berada dalam media mainstream secara adil dan telus. Krisis kekontangan nilai tanggungjawab terhadap aqidah dan keutuhan sistem Islam adalah berpunca daripada krisis kekurangan maklumat. Kekurangan maklumat adalah disebabkan ada yang menyekat.

Kronologi ringkas Kes Lina Joy.

Azlina Jailani(42), berketurunan Jawa telah menafikan didikan agama ibu bapanya sejak kecil. Beliau juga mengatakan bahawa beliau tidak pernah mempraktikkan nilai Islam sejak kecil. Beliau bertukar agama kepada Kristian pada tahun 1990 dan telah mempunyai sijil Baptis pada 11 Mei 1998.

Pada 2000, beliau telah berkahwin dengan India Kristian dan memohon pada Jabatan Pendaftaran Negara untuk menukar nama sejak tahun 1999 lagi.

Permohonan menukar nama diterima, walaubagaimanapun dikekalkan pada kad pengenalan beliau iaitu perkataan Agama Islam. Beliau amat tidak berpuas hati dan meminta Mahkamah Syariah mengesahkan kemurtadannya demi mengesahkan penukaran perkataan agama pada kadnya.

Mahkamah Syariah amat bertegas serta membuat keputusan bahawa tiada Melayu yang dibenarkan untuk menukar agama mereka (berdasarkan undang-undang) berdasarkan kuasa artikel 121(1A) yang sedia ada.

Permohonan di buat di Mahkamah Tinggi pada tahun 2000 seterusnya di Mahkamah Rayuan. Keduanya menyatakan bidang kuasa adalah pada Mahkamah Syariah berasaskan Artikel 121(1A).

Akhirnya kes ini didengarkan di Mahkamah Persekutuan. Kes didengar oleh Ketua Hakim Tun Fairuz, Dato' Alaudin dan Dato' Richard dan mereka cenderung dengan jawapan yang diputuskan oleh ketiga-tiga mahkamah sebelum itu.

Cabaran….mencabar dan tercabar…

Pertama kali dalam sejarah negara ini, peguam-peguam pemerhati telah dibenarkan untuk berhujah. Dengan diketuai oleh Peguam Malik Imtiyaz Sarwar yang sememangnya menyokong Lina Joy, mereka telah bersama-sama untuk memutar belit perhujahan kepada Artikel 11.

Mereka membawa mahkamah kepada takrifan Artikel 11 agar lebih liberal dan menguasai serta mendominasi Artikel 121(1A) serta Artikel 160 yang mentakrifan masyarakat melayu sebagai beragama Islam, berbudaya melayu dan berasal dari keluarga melayu. Artikel 11 jika dikupas secara bebas akan lebih menjuruskan kepada hak asasi.

Ya, hak asasi adalah tuhan baru bagi pengikut aliran liberalisme di barat. Liberalisme yang mula memasuki lubuk praktikal para profesional Islam, NGO serta pertubuhan dengan servis sosial mula menampakkan usaha kearah mengintegrasikan antara agama secara homogeneous total sehingga melacur prinsip dan kekukuhan nilai aqidah Islam yang merupakan sesuatu yang pernah dipertahankan oleh Imam Ahmad Hanbal sehingga patah tulang belakangnya di era Abbasiyyah dahulu.

Secara semena nilai aqidah ini mula dilacurkan oleh peguam-peguam Islam sendiri. Malik Imtiyaz Sarwar mewakili Majlis Peguam (bar Council) walaupun sebenarnya bekas-bekas presidennya sendiri tidak merestuinya (seperti Peguam Zainur Zakaria). Bahkan ahli-ahli Majlis Peguam juga tidak bereaksi positif dengan tindakannya.

Mereka cuba mencabar MAIS, Kerajaan Malaysia serta Jabatan Pendaftaran Malaysia dalam usaha untuk mentarifkan Artikel 11 agar hak kebebasan individu selepas berusia 18 tahun menjadi suatu indikator mutlak kepada kesemua kes yang akan datang. Hal ini pastinya akan menggagalkan peranan Artikel 160 serta 121(1A) sekiranya dibawa ke mahkamah sivil.

Bahaya Liberalisme….

Isu kebebasan mutlak ini akan menafikan peranan ibu bapa dalam mengawal corak moral dan nilai etika anak-anak mereka. Nilai kerangka murni Melayu yang sejak 500 tahun dahulu dipertahankan oleh nenek moyang kita sehingga 'principle exclusiveness' Melayu-Islam ini menjadi begitu signifikan dan erat sekali.

Kini usaha liberal untuk memburai segala ini sekelip mata. Usaha pensekularan akan berlaku dengan lebih pesat lagi kerana takrifan bebas Artikel 11 akan menghasilkan Islam sebagai agama yang hanya pada nama tetapi tidak berfungsi untuk mengawal akhlak penganutnya, memandu kehidupan penganutnya serta tiada amalan ritual yang bermanfaat.

Usaha penghapusan pondok-pondok yang bermula dengan penghapusan bantuan kepada mereka, labelan pembangkang kepada mahasiswa pengajian Islam (UM, UIA dan lain-lain) serta memandang pendokong Islam sebagai suatu polar negatif. Usaha pelacuran nilai Islam yang telah berlangsung antara sedar atau tidak, bermula di kampung sehinggalah ke bandar, bermula di sekolah sehingga ke medan kampus, Islam dinobatkan sebagai sesuatu yang membencikan, orthodoks dan ada usaha pemisahan norma berlaku. Malangnya Melayu.

Kesan Kes ini kepada Islam.

Artikel 3 yang memperuntukkan kedudukan istimewa Islam sebagai agama persekutuan akan semakin terhakis kerana Islam akan dianut dan diamalkan seperti agama lain.

Mengikut perlembagaan Islam adalah terletak di tempat yang tertinggi sebagai contoh di dalam peruntukan Perkara 12(2) kuasa mengurus dan menghulur bantuan oleh kerajaan (persekutuan dan Negeri) kepada institusi Islam seperti masjid, Sekolah Agama Rakyat, Madrasah dan sebagainya. Status ini akan terhapus sekiranya kes Lina Joy berjaya untuk menjadi rujukan kepada kes-kes yang akan datang. Semestinya NGO di sebalik Lina Joy tidak akan berdiam diri.

Kemenangan di dalam mahkamah bukan sekadar untuk menukar agama dan perkataan Islam pada kad pengenalan, sebaliknya merealisasikan akta dan Artikel 11 yang diperjuangkan serta menafikan hak Perkara 12(2), Artikel 160 serta 121(1A) yang terakhir sekali. Menafikan hak artikel ini dalam mahkamah, perlu juga direalisasikan di peringkat pelaksanaan eksekutif. Inilah matlamat mereka.

Bidang kuasa Mahkamah Syariah sebagaimana peruntukan Perkara 121(1A) juga akan terhakis kerana membenarkan orang Islam menggugurkan agama Islam dalam kad pengenalan melalui Mahkamah Sivil akan menyebabkan lebih ramai yang akan membelakangkan Mahkamah Syariah. Fungsi ini akan mati begitu sahaja.

Perkara 11(4) menyatakan, kerajaan Negeri boleh berusaha menyekat dakyah agama lain kepada orang Islam. Jika kes ini menang, artikel ini sudah tidak bermakna dan kesemua agama akan berhak menyebarkan agama mereka tanpa sekatan kerana Artikel 11 mendominasi.

Artikel 160 menyatakan Melayu adalah sesiapa yang berasal daripada keluarga Melayu, beragama Islam, serta mengamalkan cara hidup Islam. Lina Joy cuba menafikan pengamalan Islamnya sejak kecil semata-mata untuk menggagalkan takrifan Artikel 160. Cukup teliti perancangan mereka.

Isu Pendidikan Anak-anak












Pendidikan bagaimana yang dituntut untuk dilaksanakan?



  • Di dalam al-Quran Surah al-Ahzab, ayat 36 Allah SWT telah berfirman yang ertinya: "Tidaklah patut bagi setiap mukminin dan mukminat apabila Allah dan Rasul-Nya telah memutuskan sesuatu, ada bagi mereka pilihan lain tentang urusan mereka."

Oleh itu kita dituntut untuk mendidik anak-anak melalui proses tarbiyah Islamiyah seperti manhaj, ghoyah, hadaf serta natijahnya. Tarbiyah Islamiyah mempunyai manhajnya yang tersendiri dan teristimewa karena manhaj ini datang dari Allah SWT, Allah yang berteraskan tauhid. Seluruh kehidupan untuk berubudiyah kepada Allah SWT semata-mata.

Satu lagi yang dituntut ke atas diri kita adalah ibu bapak sendiri; perlu melalui pendidikan ini terlebih dahulu dengan keikhlasan, kesungguhan serta penyerahan supaya kita terlebih dahulu menjadi manusia Rabbani. Ini karena salah satu prasyarat keberkesanan tarbiyah adalah contoh teladan.

Anak-anak adalah generasi pewaris dakwah.

Di samping mendidik anak-anak menjadi anak yang saleh, mereka perlu diproses dengan rapi agar bersedia memikul dan melaksanakan tanggung-jawab dakwah dan jihad. Anak-anak kita adalah pewaris perjuangan yang sedang kita laksanakan hari ini. Mereka akan dipertanggung jawabkan untuk meneruskan perjuangan suci dengan lebih berkesan karena kesadaran yang telah ada di dalam hati kita. Di atas hajat ini juga Allah menyebutkan doa nabi Zakaria di dalam Surah Maryam, ayat 5 yang artinya: "Anugerahkanlah aku seorang putera, yang akan mewarisi sebagian keluarga Ya'kub."

Oleh itu kita perlu bertanya kepada diri kita secara serius, adakah kita peka atau prihatin dengan tanggungjawab mendidik anak-anak kita? Kita perlu melihat anak-anak kita sebagai mad'u (orang yang diseru) yang perlu dibentuk melalui satu proses tarbiyah, iaitu proses penyucian diri, pembentukan kefahaman, kesadaran dan pembinaan syakhsiyah.

Isu Pendidikan Anak-anak


Apakah hak-hak anak atas bapak dan ibunya ?



Rasulullah SAW telah bersabda di dalam beberapa hadith sahih yang artinya: "Hak anak atas ayahnya ialah memberinya nama yang baik, mengajarnya menulis, mengahwinkannya apabila sudah cukup umur dan mengajarnya al-Quran" (Riwayat Al-Hakin dan Ad-Dailami)

"Pendidikan yang diberikan seseorang kepadanya lebih baik baginya daripada bersedekah satu sha’ (nilai mata uang)"

"Tidak ada suatu pemberian yang lebih baik daripada seorang ayah kepada anaknya daripada budi pekerti yang baik." (H.R. Tirmidzi)

Selain itu anak-anak juga berhak untuk mendapat perhatian dan memperoleh kasih sayang ibu bapaknya. Akhlaq Hussain menulis, "Seandainya ibu bapak tidak melayani anak-anak mereka dengan kasih sayang bagaimanakah mereka mengharapkan anak mereka berkelakuan baik kepada mereka?"

Salah satu peranan terpenting di dalam kehidupan ibu dan bapak adalah menjaga amanah Allah SWT dengan sebaiknya. Anak-anak adalah amanah yang utama.

Rasulullah SAW telah bersabda, yang artinya: (".......dan setiap suami adalah pemimpin bagi keluarganya. Ia akan diminta pertanggungjawabannya dan setiap isteri adalah pemimpin atas penghuni rumah dan anak suaminya, dan ia akan diminta pertanggungjawabannya.")

Oleh itu mendidik anak-anak menjadi soleh adalah satu tanggungjawab diniyah. Kegagalan mendididk mereka akan membawa akibat yang berat di akhirat. Allah SWT telah memperingatkan masalah ini di dalam Surah at-Tahrim, ayat 6 yang artinya : "Wahai orang-orang yang beriman! Selamatkan diri kamu dan anggota keluarga kamu daripada api neraka"

Isu Pendidikan Anak-anak


22 perkara berkaitan pendidikan anak-anak


Ibu bapa yang matang harus tahu bagaimana cara untuk membentuk anak-anak mereka. Dalam hal ini ibu bapa harus bersepakat mendidik dan mewarnai hidup anak-anak. Hendaklah perlakuan ibu bapa yang menjadi contoh kepada anak-anak seragam tanpa ada perbezaan.
Anak-anak akan menjadi keliru jika ibu bapa mempunyai pandangan yang berbeza dalam mendidik mereka. Jangan ada pandangan yang berbeza antara ibu dan bapa. Misalnya, si ibu menentang sesuatu yang anak lakukan sedangkan si bapa membenarkan.Ibu bapa juga harus berwaspada dengan perlakuan datuk dan nenek atau saudara-saudara yang lain yang berlawanan dengan perlakuan ibu bapa. Kerana ia boleh meruntuhkan cara pendidikan yang telah diberikan oleh ibu bapa kepada anak-anak.
Untuk mendidik anak-anak dengan cara penampilan yang baik, ada beberapa perkara yang harus diamalkan:
1) Biasakan anak-anak menyebut nama Allah s.w.t. ketika mulai makan dan minum serta bersyukur kepada Allah s.w.t. sesudah selesai makan.
2) Jangan biarkan makan terburu-buru, biasakan anak-anak mengunyah makanan dengan baik.
3) Biasakan anak mulakan makan makanan yang berada paling dekat di depannya.
4) Biasakan anak mencuci tangan sebelum dan sesudah makan.
5) Biasakan anak makan dengan wajar dan jauhkan daripada sifat rakus.
6) Biasakan anak membuang hingus dengan tangan kiri, begitu juga jika membuang kotoran.
7) Jangan biarkan anak menghisap jari dan menggigit kuku.
8) Hendaklah membiasakan dia memberi dan menerima makanan dengan tangan kanan.
9) Jangan biasakan anak memakai baju atau seluar yang pendek, sebaliknya biasakan anak-anak menutup aurat sejak mereka masih kecil lagi.
10) Jangan biasakan anak tidur tertiarap.
11) Biasakan anak makan roti kering tanpa kuah sehingga dia tidak menganggap kuah itu sebagai suatu keharusan.
12) Biasakan anak memberus giginya ketika bangun tidur di waktu sesudah makan dan di waktu hendak tidur.
13) Biasakan anak mengucap dua kalimah syahadah dan mengulang-ulangnya beberapa kali setiap hari.
14) Biasakan anak membaca alhamdulillah setiap kali bersin.
15) Suruh anak menutup mulut setiap kali menguap (sangap).
16) Biasakan anak berterima kasih di atas kebaikan orang lain.
17) Biasakan anak berjalan di jalan yang telah disediakan. Larang ia bermain-main di jalan raya kerana ini amat merbahaya dengan kehadiran kenderaan yang lalu-lalang.
18) Jangan biarkan anak melemparkan kekotoran di jalan tetapi suruh ia meyingkirkan gangguan seperti duri, batu, kaca dan sebagainya.
19) Suruh dia mengucap salam dengan sopan kepada sesiapa yang ditemuinya serta menjawab salam cara sopan.
20) Hendaklah anak menghormati milik orang lain dan jangan biarkan dia mengambil barang permainan orang lain.
21) Jangan ibu bapa bertengkar di hadapan anak kerana sikap ini menghilangkan wibawa orang tua di mata anak mereka.
22) Biasakan anak menjawab azan, mengucap selawat kepada Nabi s.a.w. sesudah azan dan doa memohon wasilah bagi Nabi.
Perkara ini hendaklah dilakukan selalu agar anak-anak terbiasa dengan perkara-perkara yang baik.Untuk membiasakan didikan-didikan di atas, ia memerlukan kesefahaman, kesepakatan dan kerjasama antara ibu bapa. Kita sudah sepakat dan saling bekerjasama untuk menerapkan didikan tersebut ke atas diri anak kita sejak anak itu kecil lagi, iaitu ketika umurnya antara tujuh sehingga 14 tahun.
Ini adalah masa yang terbaik ibu bapa mendisiplinkan anak-anak. Insya-Allah anak kita akan menjadi anak yang sejuk mata memandang dan menjadi pemimpin pada orang-orang yang beriman kelak. Seterusnya untuk menjadikan anak kita cemerlang, gemilang dan terbilang.
Dipetik dari Majalah ANIS
Oleh: Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood

Isu-Isu ilmu Islam

Tolong Jangan Biadap Dengan Allah
Amat menaikkan darah apabila sedang solat tiba-tiba ada orang melintas di depan kita. Jahilkah si dia ?. Biadap sungguh. Agak kerap berlaku, ketika kita menunaikan solat sunat selepas Jumaat, manusia-manusia biadap ini dengan selambanya melintas tanpa ambil kisah kita sedang menunaikan solat.
Amat perlu kita semua menasihatkan diri dan semua yang dikenali agar menjauhi sikap melintas di hadapan orang solat, terutamanya bagi mereka yang amat prihatin dalma hal solat. Salah satu tanda keperihatinan seseorang itu dengan solatnya adalah apabila ia meletakkan ‘penghadang' khusus di depannya ketika solat sunat seorang diri.
Tegahan melintas di hadapn orang solat ini disebut dalam dua hadis ini, sabda Nabi s.a.w :-
لو يَعْلَمُ الْمَارُّ بين يَدَيْ الْمُصَلِّي مَاذَا عليه لَكَانَ أَنْ يَقِفَ أَرْبَعِينَ خَيْرًا له من أَنْ يَمُرَّ بين يَدَيْهِ قال أبو النَّضْرِ لَا أَدْرِي أَقَالَ أَرْبَعِينَ يَوْمًا أو شَهْرًا أو سَنَةً
Ertinya : Sekiranya seorang yang melalui di hdapan orang yang sedang bersolat ini mengetahui apa jenis dosanya (lalu di hadapan orang solat) nescaya untuk berhenti menunggu empat puluh lebih baik dari lalu di hadapan orang solat ini, berkata perwai : aku tidak tahu samada Nabi menyebut EMPAT PULUH hari atau bulan atau tahun" ( Riwayat Al-Bukhari) [1]
Dan sebuah lagi hadis menunjukkan besarnya dosa lalu dihadapan orang solat :-
إذا صلى أحدكم إلى شَيْءٍ يَسْتُرُهُ من الناس فَأَرَادَ أَحَدٌ أَنْ يَجْتَازَ بين يَدَيْهِ فَلْيَدْفَعْهُ فَإِنْ أَبَى فَلْيُقَاتِلْهُ فَإِنَّمَا هو شَيْطَانٌ
Ertinya : Apabila seorang kamu sedang solat dan mempunyai sutrah menghalangnya, dan jika tiba-tiba ada orang yang ingin mencerobohi hadapannya maka hendaklah ingin menegahnya, jika ia (yang ingin menyeberang) enggan berhenti, hendaklah kamu bersungguh menghalangnya kerana ia adalah Syaitan" ( Riwayat Al-Bukhari) [2]
Jelas dari dalil-dalil ini, sangat perlu untuk kita meletakkan sutrah (penghadang) agar tiada individu yang mendapat dosa kerana melalui di hadapan kita selain merosakkan solat kita. Selain itu, amat perlu juga kita menahan sekiranya terdapat individu ingin melintas sewaktu kita menunaikan solat.
Ada yang bertanya kepada saya, mengapakah dosa melintas ini kelihatan terlalu besar?. Jawabnya mudah.
Anggaplah apabila anda melintas di hadapan orang yang solat, individu tersebut telah menunjukkan kebiadapannya terhadap Allah s.w.t, tiada hormat kepada Allah yang sedang berhadap kepada orang yang solat. Keadaan ini jelas dari sabdaan baginda nabi s.a.w :-
فإذا صَلَّيْتُم فَلا تَلتَفِتُوا , فإنّ اللهَ يَنْصِبُ وَجْهُه لِوَجْهِ عَبْدِهِ فِي
صَلاتِهِ مَا لمْ يَلتَفِتْ
Ertinya : "Apabila kamu solat, janganlahkamu menoleh (ke sana sini yakni tidak fokuskan pandangan), kerana Allah SWT mengarahkan wajahNya ke wajah hambanya yang sedang bersolat selagi mana hambanya tidak menoleh ke lain" ( Al-Bukhari dan Abu Daud) [3]
Jelas, individu yang lalu TANPA HORMAT kepada Allah dan orang yang bersolat melintas. Secara langsung juga, individu itu juga biadap kepada orang yang sedang solat.
Kesimpulannya, jauhilah sifat buruk dan dosa ini. Adapun ketika di Mekah yang terlalu ramai manusianya yang pelbagai ragam dan sikap, mungkin ada keringanan sedikit disebabkan keadaan yang tidak amat sukar dikawal, namun demikian saya yakin keadaan tersbeut boleh dikawal di Malaysia. Jangan jadikan diri sebahgaian dari kumpulan biadap ini.

Wednesday, October 22, 2008

ISU NEGARA ISLAM


ISU NEGARA ISLAM



Fatwa Sheikh Prof. Dr. Wahbah al Zuhaily Tentang Negara Islam?

( Pengarang kitab fiqh moden terbesar al fiqh al Islami wa adillatuh dan tafsir moden terbesar al tafsir al munir.

Soalan : Saya seorang warganegara Malaysia , telah mendengar pelbagai pandangan mengenai adakah Negara Malaysia termasuk di dalam definisi Negara Islam. Saya harap tuan dapat memberi jawapan.

Jawapan Sheikh Prof. Dr Wahbah Az-Zuhayli ( SYRIA): Sekarang ini kebanyakan Negara Arab dan Islam dilabelkan dengan label Negara Islam. Namun hanya dari sudut politik. Realitinya tidak demikian. Kerana sifat sebenar Islam dan pelaksanaan syariat hilang ( tidak wujud ) pada realitinya. Boleh jadi, penamaan (pelabelan ) ini diterima kerana kebanyakan penduduknya orang Islam dan kerana syiar-syiar Islam ditegakkan di negara itu. Maka bolehlah dinamakan (Negara) "Islam" namun secara simboliknya sahaja bukanya realiti.

Isu Pembinaan Keluarga Islam


Isu Pembinaan Keluarga Islam



Keputusan Majlis Fiqh Sedunia dalam persidangan yang ke-16 bertempat di Dubai pada
9-14 April 2005 telah membuat ketetapan seperti berikut :-

1. Pemisahan tanggungan harta di antara suami isteri
Isteri mempunyai kelayakan sepenuhnya dan hak harta yang tersendiri. Menurut hukum Shariah, isteri mempunyai hak penuh terhadap (harta) yang diusahakan, samada untuk menggunakannya, memiliki sesuatu, membelanjakannya sementara suami tidak punyai sebarang berkuasa ke atas harta isterinya itu. Isteri juga tidak perlu mendapat izin suami dalam pemilikan hartanya itu dan cara belanjakannya.

2. Nafkah perkahwinan

Seorang isteri berhak menerima nafkah yang telah ditetapkan mengikut kemampuan suami bersesuaian dengan uruf yang benar juga kebiasaan masyarakat setempat yang diterima syara'. Kewajipan memberi nafkah ini tidak gugur kecuali jika berlaku nusyuz (di pihak isteri).

3.Isteri keluar bekerja

Tanggungjawab asas bagi seorang isteri ialah mengurus keluarga, mendidik anak-anak dan memberi sepenuh perhatian terhadap generasi masa depan itu. Walaubagaimanapun, di ketika perlu, isteri berhak untuk bekerja dalam bidang yang bersesuaian dengan tabiat dan kemahirannya menurut uruf yang diiktiraf syara' dengan syarat hendaklah dia beriltizam (menjaga) hukum-hukum agama.
Kewajipan suami memberi nafkah kepada isteri yang berkerja tidak gugur menurut Islam, selagi mana tidak berlaku ketika keluarnya isteri tersebut untuk bekerja menyebabkan berlakunya isteri 'nusyuz', tatkala itu gugur kewajipan suami memberi nafkah kepada isterinya yang nusyuz.

4. Isteri turut serta membiayai perbelanjaan keluarga

Menurut pandangan Islam, dari awal mula lagi, isteri tidak wajib berkongsi peranan membiayai nafkah (perbelanjaan) yang diwajibkan ke atas suami. Suami juga tidak harus mewajibkan isteri membantunya (dengan bekerja).
Kerelaan seorang isteri untuk turut berperanan membantu perbelanjaan keluarga merupakan suatu perkara dibenarkan menurut pandangan syara' demi menjayakan makna bantu membantu dan bertolak ansur di antara suami isteri.
Diharuskan untuk membuat persefahaman dan persepakatan di antara suami isteri akan cara pengurusan pendapatan merkea termasuk pendapatan yang diperolehi oleh isteri.
Jika keluarnya isteri bekerja memerlukan kos tambahan, maka isteri menanggung sendiri kos tersebut ( seperti pengangkutan dan lain-lain)


5. Kerja Sebagai Syarat

Seorang isteri dibenarkan untuk meletakkan syarat pada akad perkahwinannya bahawa ia hendaklah dibenarkan bekerja, apabila suami redha dengan syarat itu, ia menjadi kemestian baginya untuk membenarkan (setelah kahwin). Syarat itu hendaklah dinyatakan secara jelas ketika akad.
Suami pula harus meminta isteri meninggalkan kerjayanya walaupun sebelum ini ia membenarkannya, iaitu sekiranya meninggalkan pekerjaan itu dibuat atas tujuan kepentingan keluarga dan anak-anak.
Tidak harus, pada pandangan syara' bagi seorang suami untuk menjadikan keizinannya kepada isteri untuk bekerja dengan syarat isteri hendaklah membantu perbelanjaan keluarga yang diwajibkan ke atas suami; tidak harus juga suami mensyaratkan isteri memberi sebahagian daripada pendapatannya kepada suami.
Suami tidak boleh memaksa isteri untuk keluar bekerja.

6. Perkongsian isteri dalam pemilikan harta

Apabila isteri benar-benar turut menyumbang harta dan pendapatannya bagi mendapatkan dan memilki rumah, aset tetap atau sebarang projek perniagaan, ketika itu isteri mempunyai hak perkongsian pemilikan terhadap rumah atau projek tersebut mengikut kadar harta yang disumbangkannya.

7. Penyalahgunaan hak dalam bidang pekerjaan

Sebuah perkahwinan itu mempunyai beberpaa kewajiban bersama yang patut ditanggung
oleh pasangan suami isteri dan ia ditentukan oleh Shariah Islam dengan jelas. Justeru hendaklah perhubungan antara suami isteri dibina adalah landasan keadilan, tolak ansur dan saling menyayangi. Sebarang tindakan yang melangkaui batasan berkenaan adalah haram pada kacamata syara'.
Seorang suami tidak harus menyalahgunakan haknya sebagai suami untuk menghalang isteri bekerja atau memintanya meninggalkan kerjayanya sekiranya ia hanya bertujuan untuk memudaratkannya (isteri) atau diyakini tindakan itu hanya akan menyebabkan keburukan melebihi kepentingan yang diperolehi.
Demikian juga halnya ke atas isteri (tidak harus menyalahgunakan keizinan dan hak yang diberikan), iaitu jika ia berterusan dengan kerjayanya hingga menyebabkan mudarat kepada suami dan keluarga atau melebihi maslahat yang diharapkan.

Isu Penuntut Islam di IPT















Isu Penuntut Islam di IPT

Bahang pilihanraya kampus semakin dirasai kebelakangan ini. Pilihan raya kampus adalah penggerak kepada amalan demokrasi peringkat mahasiswa. Amalan ini perlu menjadi latihan kepada kepada amalan demokrasi di luar yang menjadi kekuatan Malaysia. Amalan demokrasi di kampus perlu dianggap sama penting seperti amalan demokrasi di luar kampus. Maka, amalan pilihanraya kampus juga perlu dilihat sama penting dengan pilihanraya umum. Apapun keputusannya, yang penting ialah proses itu seharusnya telus dan demokratik. Kita mahu membentuk golongan mahasiswa mapan, peka dengan perkembangan semasa, tidak kira di dalam atau di luar kampus. Maka demokrasi adalah satu wadah untuk menyuntik kesedaran itu.

Campur tangan bukan pelajar adalah satu gangguan dalam proses itu. Walaupun mahasiswa berhak mendapat nasihat daripada sesiapa saja, mahasiswa sepatutnya mempunyai pendirian berbeza selepas mengambil kira pelbagai pandangan. Pihak yang ingin mencampuri urusan mahasiswa ini diingatkan hentikanlah niat itu kerana ia hanya akan menghancurkan masa depan mereka. Golongan inilah yang akan memimpin negara pada masa depan. Janganlah disebabkan agenda kita sendiri, kita akan melahirkan pemimpin ”pak turut”, tidak kira sama ada pembangkang atau kerajaan.

Saya juga ingin mencadangkan calon yang akan bertanding supaya menghormati antara satu sama lain. Bertandinglah dengan penuh hemah dan perasaan kekeluargaan. Saya ingin mencadangkan agar agenda yang dibawa nanti hendaklah ke arah melahirkan mahasiswa mapan dan berbudaya ilmu. Kita mahu mahasiswa menyumbang kepada pembangunan negara dan agama. Janganlah kita menjadi sekumpulan pemimpin yang akan menghancurkan orang di bawah pimpinan kita. Kita perlu melihat isu dengan lebih meluas. Isu kebajikan pelajar perlu diambil kira. Namun, kemampuan kita ada batasnya. Oleh itukita perlu meningkatkan lagi fokus, agar isu pembangunan mahasiswa turut menjadi agenda kita. Bagi mencapai matlamat itu, hubungan harmoni dengan pengurusan universiti sangat penting.

Kita perlu menjadi rakan dalam pembangunan universiti dan bukan musuh. Kita perlu menjadi rakan yang kritikal dan bukan musuh yang sentiasa skeptikal. Oleh itu saya ingin menyarankan agar calon mempertimbangkan slogan ”bersama Universiti” untuk pelajar supaya tidakmenampakkan kedangkalan pemikiran hanya menjadi idealis totok.

Hakikatnya, kita perlu bekerjasama dengan universiti kerana tiada sesiapa yang berada di dalam universiti yang mempunyai niat untuk menghancurkan pusat pengajian tinggi itu. Perbezaannya hanyalah pada cara kita memandang sesuatu isu yang boleh diatasi apabila perbincangan yang membina dapat dilakukan.

ISU EKONOMI ISLAM

ISU EKONOMI ISLAM
"bukankah tiada riba di antara negara atau kerajaan dengan rakyat, sebagaimana tiada riba antara tuan dengan hambanya"
Benarkah riba menjadi halal apabila ia melibatkan hamba dan tuannya. Maka demikian juga kerajaan dan rakyat?
Sebelum saya mengulas ringkas berkenaan sejauh mana benarnya pandangan tentang riba antara kerajaan dan rakyat yang dikatakan halal, terlebih baik jika kita dapat melihat asas yang cuba digunakan, iaitu riba antara hamba dengan tuan.

RIBA ANTARA TUAN DAN HAMBA

Benar, mazhab Hanafi berpendapat riba tidak diharamkan jika transaksi itu di antara hamba dan tuannya. Pandangan mazhab Hanafi ini ternyata dalam nas fatwanya: -

Ertinya : "Antara syaratnya (untuk jatuh riba) mestilah badal (harta) itu tidak dipunyai oleh satu pihak sahaja, jika (ia dipunyai oleh satu pihak sahaja) maka tiadalah jatuhnya riba, justeru itu terkeluarlah hamba " ( Badai As-Sonai'ie, Al-Kasani, 7/3129 )
Ringkasnya, asas pendapat Hanafi ini adalah kerana si hamba sebenarnya tidak boleh memilikinya hartanya sendiri, semua harta yang dimiliki oleh hamba sebenarnya milik tuannya.
Oleh kerana itu, tiada riba antara kedua-dua nya keran awnag hamab adalah wang tuan, dan wang si tuan juga wangnya juga. Maka tiada riba dalam hal wang satu pihak sahaja (iaitu si tuan).

MAJORITI MAZHAB TIDAK SETUJU

Namun, pandangan ini bertentangan dengan pendapat mazhab-mazhab lain yang berfatwa haramnya tetap sama. Imam Ibn Hazm dengan tegas menolak dengan dalil Saiyidina Hussain bin Ali pernah menerima hadiah kambing dari seorang hamba, apabila mengetahui ia dari seorang hamba, Hussain memulangkannya kembali tetapi kemudian hamba tersebut mengatakan dengan jelas :-

Ertinya : Ia ( kambing) itu milikku.
Dengan penjelasan itu, Sayyidina Hussain menerima hadiah kambing itu. Ini jelas membuktikan sang hamba masih boleh memiliki harta, jual beli, memberi hadiah dan sebagainya. Kalau hamba tidak boleh memiliki, sudah tentu, Sayyidina Hussain akan tetap menolaknya. ( Al-Muhalla, 8/515)
Apabila hamba dikitiraf boleh miliki harta secara berasingan dari tuannya, sudah tentulah riba tetap boleh berlaku di antara sio hamba dan tuannya.
Hal ini dikuatkan lagi oleh Imam An-Nawawi berkata :-

Ertinya : Sama taraf hukumnya dalam pengharaman riba sama ada antara lelaki dan wanita, hamba, hamba yang tertulis ( untuk bebas) secara ijma'.." ( Al-Majmu' Syarah Al-Muhazzab, 9/442 )


BAGAIMANA PULA RIBA ANTARA KERAJAAN DAN RAKYAT?

Jika dilihat perbincangan di atas tadi, jelas kepada kita memang benar mazhab Hanafi berbeza fatwanya dengan majoriti mazhab dalam hal riba antara tuan dan hamba.
Walaupun demikian, pandangan yang lebih kuat adalah masih BERLAKU riba antara keduanya, ia juga merupakan pandangan majoriti ulama dan mazhab.
Namun wujud di zaman moden ini individu yang cuba menghalalkan riba yang dikenakan oleh kerajaan kepada rakyat dan cuba mengambil hujjah mazhab hanafi berkenaan "tuan dan hamba".
Objektif di sebalik pandangan ini adalah untuk membenarkan sebuah bank yang dimiliki kerajaan atau pihak kementerian memberi pinjaman wang kepada rakyat dengan riba, atau meminjam wang dari pelabur dari kalangan rakyat lalu memberikan pulangan riba kepada mereka. Dengan itu ia dianggap halal kerana kononnya ia boleh diqiyaskan kepada fatwa mazhab Hanafi iaitu kes riba di antara hamba dan tuan.


QIYAS YANG MENYELEWENG?

Adakah ini qiyas yang benar?.
Sudah tentu tidak. Mazhab Hanafi tadi menganggap ia harus kerana bagi mereka sang hamba tidak punyai kapasiti untuk memiliki harta sendiri, kerana semua miliknya adalah untuk tuannya.
Jelas sekali sifat ini tidak relevan dengan rakyat, rakyat bukannya hamba. Harta rakyat juga tidak boleh diusik sewenang-wenangnya oleh kerajaan. Semua individu rakyat memiliki kapasiti khusus yang diiktiraf Islam untuk menjual, membeli, menyewa, melabur dan lain-lain dengan hartanya. Tanpa sebarang campur tangan kerajaan. Kerjaana hanya berhak mementukan undang-undang dan prasarana sesuai agar setiap transaksi terjaga dari eksploitasi dan penipuan.
Kerajaan tidak boleh campur tangan jika individu rakyat ingin membeli rumah di Kajang, di Damnsara dan sebagainya. Ia berlainan sama sekali dengan si hamba yang tidak boleh membeli rumah sendiri kecuali dengan arahan si tuan.
Tegasnya, rakyat bukan hamba yang dimiliki oleh kerajaan. Tidak sama sekali, malah kerajaanlah khadam dan hamba yang perlu berkhidmat untuk rakyat.

Kesimpulannya, pandangan yang cuba mengharuskan riba antara kerjaaan dan rkayat adalah tertolak dan tidak berasas sama sekali. Hal ini juga telah ditegaskan oleh Dr. Sami Hammud dan Prof Dr. Yunus Al-Masri dalam kajian mereka. (Al-Jami fi Usul Al-Riba, hlm 202-204 ; Tatwir Al-A'mal Al-Masrafiah, hlm 201-205 )
Justeru, PTPTN tetap riba walaupun ia antara kerajaan dan rakyat, ini berdasarkan fatwa Majlis Fiqh Antarabangsa dan ulama yang pakar dalam bidang kewangan Islam dengan hujah-hujah yang amat jelas dan terperinci.