Isu Penuntut Islam di IPT
Bahang pilihanraya kampus semakin dirasai kebelakangan ini. Pilihan raya kampus adalah penggerak kepada amalan demokrasi peringkat mahasiswa. Amalan ini perlu menjadi latihan kepada kepada amalan demokrasi di luar yang menjadi kekuatan Malaysia. Amalan demokrasi di kampus perlu dianggap sama penting seperti amalan demokrasi di luar kampus. Maka, amalan pilihanraya kampus juga perlu dilihat sama penting dengan pilihanraya umum. Apapun keputusannya, yang penting ialah proses itu seharusnya telus dan demokratik. Kita mahu membentuk golongan mahasiswa mapan, peka dengan perkembangan semasa, tidak kira di dalam atau di luar kampus. Maka demokrasi adalah satu wadah untuk menyuntik kesedaran itu.
Campur tangan bukan pelajar adalah satu gangguan dalam proses itu. Walaupun mahasiswa berhak mendapat nasihat daripada sesiapa saja, mahasiswa sepatutnya mempunyai pendirian berbeza selepas mengambil kira pelbagai pandangan. Pihak yang ingin mencampuri urusan mahasiswa ini diingatkan hentikanlah niat itu kerana ia hanya akan menghancurkan masa depan mereka. Golongan inilah yang akan memimpin negara pada masa depan. Janganlah disebabkan agenda kita sendiri, kita akan melahirkan pemimpin ”pak turut”, tidak kira sama ada pembangkang atau kerajaan.
Saya juga ingin mencadangkan calon yang akan bertanding supaya menghormati antara satu sama lain. Bertandinglah dengan penuh hemah dan perasaan kekeluargaan. Saya ingin mencadangkan agar agenda yang dibawa nanti hendaklah ke arah melahirkan mahasiswa mapan dan berbudaya ilmu. Kita mahu mahasiswa menyumbang kepada pembangunan negara dan agama. Janganlah kita menjadi sekumpulan pemimpin yang akan menghancurkan orang di bawah pimpinan kita. Kita perlu melihat isu dengan lebih meluas. Isu kebajikan pelajar perlu diambil kira. Namun, kemampuan kita ada batasnya. Oleh itukita perlu meningkatkan lagi fokus, agar isu pembangunan mahasiswa turut menjadi agenda kita. Bagi mencapai matlamat itu, hubungan harmoni dengan pengurusan universiti sangat penting.
Kita perlu menjadi rakan dalam pembangunan universiti dan bukan musuh. Kita perlu menjadi rakan yang kritikal dan bukan musuh yang sentiasa skeptikal. Oleh itu saya ingin menyarankan agar calon mempertimbangkan slogan ”bersama Universiti” untuk pelajar supaya tidakmenampakkan kedangkalan pemikiran hanya menjadi idealis totok.
Hakikatnya, kita perlu bekerjasama dengan universiti kerana tiada sesiapa yang berada di dalam universiti yang mempunyai niat untuk menghancurkan pusat pengajian tinggi itu. Perbezaannya hanyalah pada cara kita memandang sesuatu isu yang boleh diatasi apabila perbincangan yang membina dapat dilakukan.
No comments:
Post a Comment